fbpx
Connect with us

Subscribe

Azleen Abdul Rahim

Strategi Pemasaran: Teori Dan Realiti

Sekiranya para pengguna tidak melihat jenama anda, produk dan perkhidmatan yang disediakan tidak relevan dengan kehidupan mereka

Photo by Bundo Kim on Unsplash

Pada mulanya, memang semuanya nampak cantik, nampak menarik dan tanpa sebarang kelemahan. Sama seperti ketika anda mula bercinta, ketika membeli rumah idaman dan sebagainya. Tetapi setelah berkahwin selama beberapa bulan, setelah mendiami rumah idaman anda selama setahun baharu anda sedar rupanya yang dilihat cantik itu rupanya ada juga faktor yang tidak cantik. Semuanya bergantung kepada perubahan yang anda ingin lakukan untuk kekal menjayakannya.

Pemasaran juga begitu. Pada mulanya anda mungkin beranggapan bahawa strategi pemasaran yang anda lakarkan itu semuanya pasti akan mendatangkan hasil. Anda berasa bangga kerana mampu menyediakan pelan strategik pemasaran yang lebih hebat daripada hebat. Jualan pasti akan meningkat dengan baik dan cepat, pendapatan syarikat akan bertambah seratus peratus pada empat bulan pertama dan semuanya akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Selepas 6 bulan, realitinya jauh berbeza. Apa yang dirancang selama ini semuanya tidak menjadi. Semua yang dilaksanakan kelihatan kering dan tidak menarik. Tiada sambutan dari orang ramai tentang apa yang dipromosikan. Mereka kelihatan endah tak endah sahaja dengan kempen pemasaran anda. Pihak pengurusan syarikat juga mula bertanya kepada anda – apa dah jadi? 

Anda mungkin perlu faham tentang beberapa faktor apabila membuat perancangan tentang strategi pemasaran untuk jenama atau produk anda.

Tingkahlaku pengguna. Terdapat dua perkara penting yang perlu anda pantau sebelum anda membuat perancangan dan strategi pemasaran anda. Pertama, lihat bagaimana para pengguna membeli produk yang hampir sama dengan produk anda. Pemerhatian tidak boleh dilakukan dalam masa yang singkat kerana ia perlu dilakukan melalui pelbagai saluran seperti di internet, media sosial dan juga secara fizikal. Kedua, perhatikan tingkahlaku para pengguna bagaimana mereka membuat keputusan untuk membeli sesuatu produk itu. Adakah ia dipengaruhi oleh iklan, oleh orang-orang yang mereka kenali atau melalui review daripada individu-individu yang pernah menggunakan produk tersebut? Dari pemerhatian ini, anda pasti akan dapat melihat satu corak yang konsisten. Kemudian baharu anda mula lakarkan strategi pemasaran anda.

Strategi pemasaran tidak statik. Strategi pemasaran tidak kekal sama pada satu-satu masa. Ia perlu berubah mengikut keadaan, situasi dan masa. Mengapa? Jawapannya mudah. Cuba anda lihat 5 tahun yang lalu berbanding apa yang sedang kita alami sekarang. Keadaan sangat berbeza. Jenama-jenama besar kini sudah mula tergugat dengan jenama-jenama yang lebih kecil hanya kerana mereka agak lambat untuk berubah. Sekiranya anda tidak mempunyai strategi pemasaran yang dinamik maka jenama anda akan jauh ketinggalan dan mungkin akan dihumban jauh oleh para pengguna kerana anda terlalu membosankan dan tidak lagi relevan. 

Tiada jualan. Walau sebaik mana pun strategi pemasaran yang dibuat, ia tidak akan mampu menjana jualan pada bulan-bulan pertama ia dilaksanakan. Jadi jangan risau. Walau bagaimanapun, anda perlu memantau dan memastikan strategi anda sentiasa mengikut formula pemasaran yang sesuai dengan perniagaan anda, strategi perniagaan anda secara keseluruhannya dan mencari jawapan mengapa para pengguna perlu membeli dari anda dan bukannya orang lain. 

Efektif tanpa menggunakan pelaburan yang tinggi. Semua jenama amat berminat kalau produk dan perkhidmatan yang mereka sediakan itu diserbu oleh semua orang dan membayarnya pada harga yang anda minta, tanpa perlu diiklan atau dipasarkan dengan pelaburan yang tinggi. Ya, sedar-sedar sahaja terus pesanan yang bernilai beribu-ribu Ringgit meluru masuk setiap hari tanpa sebarang pemasaran. Teruskan bermimpi kerana ia hampir pasti tidak akan berlaku. Jenama dan produk anda perlu mempunyai strategi pemasaran yang bersesuaian dengan peruntukan kewangan yang ada. Apakah bentuk pemasaran yang tidak menggunakan wang yang banyak? Ada, dan ia sangat efektif dan memang berhasil. Ia dikenali sebagai pemasaran mulut-ke-mulut.

Jadi sebahagian dari hidup pengguna. Pada zaman ini, sekiranya para pengguna tidak melihat jenama anda, produk anda dan perkhidmatan yang anda sediakan ini tidak relevan dengan kehidupan mereka maka dengan sendirinya mereka tidak akan datang dekat dengan anda. Mereka akan melangkau anda kepada jenama lain yang lebih dilihat berguna. Biasanya pihak pengurusan akan terus menyalahkan strategi pemasaran dan pasukan pemasaran yang ada kerana tidak mampu menarik pengguna untuk datang membeli. Tetapi sebenarnya ia tidak ada kena mengena dengan strategi pemasaran langsung. Ia sebenarnya kelemahan yang ada pada jenama itu sendiri dan strategi perniagaan yang ada.

Sign Up For Our Newsletter

Written By

Azleen Abdul Rahim is the Co-Founder of Marketing In Asia. He also runs NSE, a social media management company. Follow him on LinkedIn.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

6 Sebab Mengapa Pemasaran Media Sosial Penting Bagi Seorang Usahawan

Marketing

Apa Beza ‘Content’ Dan ‘Container’?

Malaysia

Kepentingan Pemasaran Dalam Realiti Keusahawanan & Kehidupan

Khir Khalid

people wearing diy masks people wearing diy masks

Etika Penting Dalam Merangka Strategi Pemasaran Sosial

Marketing

Connect
Sign Up For Our Newsletter