Connect with us

Subscribe

Khir Khalid

5 Elemen Pemasaran Penting Sebagai Freelancer Profesional

Laman web rasmi meningkatkan lagi keyakinan pasaran terhadap kredibiliti diri dan kerjaya

Photo by Miguel Dominguez on Unsplash

Perkataan Freelancer atau pekerja bebas bukan lagi istilah asing dalam masyarakat kini. Sememangnya tidak dinafikan berdasarkan pengalaman dan pemerhatian, ramai dikalangan yang terlibat telah berjaya membina kerjaya sebagai Freelancer Profesional. Ada yang terus mengorak langkah dengan portfolio yang memberangsangkan, malah tidak kurang yang masih ‘struggle’ dan juga yang mengambil keputusan untuk kembali bekerja tetap.

Kerjaya sebagai seorang Freelancer juga telah mencetuskan satu inspirasi dikalangan mereka yang masih mempunyai pekerjaan tetap untuk menanam cita-cita menjadi seorang Freelancer Profesional dalam bidang yang diceburi. Alasan yang biasa dinyatakan adalah kebebasan masa tanpa tekanan dan nampak lebih ‘pro’, berbanding bekerja di bawah majikan. Malah ada sesetengah pula hanya melihat ianya satu kerja yang menyeronokkan dan tidak mempunyai komitmen ‘9 to 5’. 

Namun, cabaran disebalik kebebasan masa itu sebenarnya memerlukan komitmen yang tinggi, kecekalan dan perancangan yang rapi. Apatah lagi sekiranya anda sudah berkeluarga dan memegang tanggungjawab sebagai seorang suami, bapa dan ketua keluarga. Tanpa tujuan yang jelas dalam menjana hasil pendapatan melalui kepakaran tertentu serta sentiasa menjaga mutu kerja, etika dan displin, anda boleh menjadi lebih tertekan daripada merasai tekanan bekerja di bawah majikan.

Maka ada beberapa realiti yang perlu anda ambil tahu sekiranya berhasrat menceburkan diri sebagai Freelancer atau sedang berusaha memantapkan kerjaya sebagai Freelancer Profesional.

Mengapa Pilih Kerjaya Sebagai Freelancer

Freelancer merupakan mereka yang bekerja sendiri secara bebas dengan mana-mana organisasi atau syarikat untuk tempoh dan projek tertentu. Sungguhpun begitu, terdapat ramai dikalangan freelancer kini telah menyedari potensi menjadikan ia sebagai satu landasan kerjaya yang lebih terancang.

Perkara pertama perlu jelas adalah, kenapa anda memilih untuk menjadi seorang Freelancer. Secara asas, terdapat 3 golongan majoriti bagi mereka yang terlibat sebagai Freelancer iaitu;

Pekerja Berpengalaman. Mereka yang mempunyai matlamat yang jelas hasil beberapa tahun bekerja di bawah sesebuah organisasi dan menyedari ia dapat dimanfaatkan untuk bekerja sendiri. Melalui pendedahan kerja, mereka membina rangkaian berpotensi seperti ‘associates’, prospek dan pelanggan bagi menyokong merealisasikan usaha kerjaya sebagai Freelancer Profesional.

Tiada Pilihan. Mereka antara yang tergolongan menerima tawaran pemberhentian kerja secara sukarela disebabkan kegawatan ekonomi atau penyusunan semula syarikat, diberhentikan kerja atau menghadapi kesukaran dalam perniagaaan yang diusahakan. Berdasarkan kepakaran yang ada, mereka akhirnya mengambil keputusan terlibat sebagai Freelancer atas kesukaran mendapatkan pekerjaan yang sesuai bagi meneruskan aspirasi kerjaya dan kelangsungan hidup.

Freshie. Mereka yang dari awal lagi telah memilih untuk terlibat sebagai Freelancer di atas sesuatu kepakaran yang diyakini mampu terus berkembang dengan prospek pasaran yang luas. Golongan ini kurang berminat kerja ‘makan gaji’ dan memulakan usaha sebagai Freelancer untuk menjadi seorang usahawan atau ahli perniagaan berjaya. Ada juga yang berniat membina kerjaya sebagai Freelancer Profesional sepenuhnya.

Saya pernah tergolong dikalangan kluster kedua lebih 10 tahun lalu. Setelah berhenti kerja bagi meneruskan aspirasi keusahawanan bersama rakan kongsi, perniagaan kami menghadapi kesukaran akibat kegawatan ekonomi. Saya akhirnya mengambil keputusan nekad meneruskan usaha sebagai seorang Freelancer bagi mengurangkan liabiliti tatkala banyak perut yang perlu ditanggung.

Namun saya bersyukur kerana melalui kepercayaan pelanggan sedia ada setidaknya membantu menyokong usaha pengukuhan keusahawanan. Selain itu, panduan oleh beberapa Freelancer Profesional juga amat membantu dalam membina portfolio industri yang berkredibiliti sehinggalah mendapat pengiktirafan sebagai antara ahli pemasaran profesional di Malaysia.

5 Elemen Pemasaran Sebagai Freelancer Profesional

Berdasarkan realiti dan pengalaman, berikut adalah 5 elemen penting sekiranya anda berhasrat dalam memperkasa kerjaya sebagai seorang Freelancer Profesional.

Mendaftar Entiti Perniagaan. Daftar entiti perniagaan anda dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sekiranya beroperasi di Malaysia atau yang seumpamanya jika beroperasi di negara lain. Walaupun anda hanya seorang freelancer yang beroperasi di rumah ataupun hanya memerlukan ‘laptop’ sebagai ‘digital nomad’, ia merupakan komitmen pertama yang patut anda lakukan untuk bertapak lebih baik dalam prospektus kerjaya yang diceburi.

Melalui sebuah entiti yang berdaftar amat membantu membina kepercayaan industri dan kredibiliti prospek pasaran dalam usaha jangka panjang kerjaya. Oleh itu, ambil sedikit inisiatif dalam mengenalpasti status pensyarikatan yang bersesuaian dengan kemampuan. Secara asas, mendaftar sebuah perniagaan bertaraf ‘sole proprietorship’ sudah memadai sebagai seorang Freelancer.

Mendaftar Cukai Pendapatan. Pasti jauh di sudut pemikiran anda bertanya, apa kaitan mendaftar cukai pendapatan dengan elemen pemasaran? Ya.. memandang remeh perkara ini boleh menjejaskan kerjaya dan memeningkan hidup anda satu masa nanti. Ia telah banyak berlaku. apatah lagi dengan berkembangnya kemajuan teknologi maklumat dan senario ekonomi masa kini.

Pastikan nama anda telah mendaftar sebagai pembayar cukai. Sekiranya anda Freshie, dapatkan penjelasan sebaiknya melalui khidmat nasihat di Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai salah satu usaha ‘startup’ memulakan kerjaya sebagai Freelance Profesional.

Mendaftar dengan LHDN juga dapat membantu memudahkan pelbagai sokongan perniagaan seperti fasiliti kredit malah membantu anda bersaing dan membina kerjasama industri yang lebih mampan walaupun anda seorang Freelancer.

Membina Platform Sales Funnel. Manfaatkan potensi media sosial sebagai corong jualan (sales funnel) yang dapat membantu membina ‘establishment’ dalam pasaran yang anda ceburi. Ambil sedikit masa untuk anda kenalpasti potensi saluran media sosial yang bersesuaian seperti LinkedIn, Facebook, Twitter, Instagram atau YouTube dengan pengisian yang selaras dengan aspirasi kerjaya.

Bina profil yang bersesuaian dan usahakan untuk interaksi membina ‘engagement’ melalui status berinformatif yang tidak terlalu formal atau terlalu santai bersama prospek pasaran di media sosial pilihan anda. Anda juga boleh memulakan asas pengkalan data terhadap prospek berpotensi dan mengenalpasti kaedah berkesan dalam menjana ‘conversion’ pelanggan dari masa ke semasa.

Terdapat input yang boleh anda jadikan rujukan dalam memanfaatkan platform sales funnel pada artikel bertajuk Kefahaman Asas Bina Reputasi Pasaran Melalui Digital Storytelling.

Membangunkan Laman Web Rasmi. Membangunkan sebuah laman web rasmi yang menerangkan tentang profil kerjaya anda adalah satu langkah penting membina aset digital selain memanfaatkan potensi media sosial. Ia secara tidak langsung menjadi representatif online anda dalam meningkatkan lagi keyakinan pasaran terhadap kredibiliti diri dan kerjaya.

Anda boleh mulakan dengan mempelajari asas membina laman web yang boleh anda bangunkan sendiri melalui pakej hosting yang berpatutan. Jika tidak, dapatkan khidmat pembangun laman web yang dipercayai bagi membangunkan sebuah laman web yang bersesuaian dengan bajet. Penting juga untuk anda pastikan nama domain yang selaras dengan kepentingan kerjaya yang diusahakan.

Terdapat banyak kelebihan mempunyai laman web dalam memperkasa potensi dan ‘leads generation’ pelanggan. Anda tidak akan menyesal jika memulakannya dari awal melalui rujukan dan pemahaman yang betul dalam memperkasa kerjaya sebagai Freelancer Profesional.

Format Grafik Dan Percetakan. Tetapkan format grafik dan percetakan untuk keperluan kerja merangkumi pemasaran dan pengurusan seperti reka grafik logo, profil, dokumen sebut harga, ‘rate card’, inbois, resit dan kepala surat (letterhead) rasmi. Pastikan ia boleh anda gunakan untuk pelbagai tujuan kerjaya sama ada secara online seperti emel dan whatsapp atau untuk dicetak bagi keperluan urusan secara fizikal.

Penggunaan kad bisnes atau lebih tepat sebagai ‘call card’ bagi seorang Freelancer juga masih releven untuk tujuan ‘networking’ dan janji temu. Melalui susun atur reka grafik, maklumat perkhidmatan dan perhubungan yang merangkumi nama perniagaan, pautan laman web, saluran media sosial, emel dan nombor telefon, juga memberi impak positif terhadap komitmen anda kepada prospek.

Format grafik dan percetakan yang terancang dapat membantu menyelaraskan segala keperluan kerjaya sebagai persediaan bagi memenuhi pelbagai urusan prospek dan pelanggan dengan lebih efisyen, efektif dan profesional. 

Membezakan Seorang Freelancer Profesional

Terdapat beberapa faktor yang membezakan seorang Freelancer Profesional dengan istilah ‘bekerja sendiri’ pada pandangan industri. Walaupun sekiranya pada hakikat anda memang berkerja sendiri, antara perkara yang sering dinilai adalah prestasi kerjaya serta portfolio yang menepati piawaian industri dan perundangan negara.

Pastikan 5 elemen di atas dapat dipenuhi sebagai asas komitmen kerjaya yang terancang. Anda juga boleh memperkasa nilai tambah bagi memantapkan lagi kredibiliti yang lebih profesional berdasarkan panduan Bagaimana Buatkan Pengguna Lebih Yakin Pada Jenama Anda Dengan Lebih Cepat.

Secara realiti, kesemua elemen ini telah terbukti membuka potensi kelayakan yang lebih luas dalam menyokong reputasi pemasaran untuk pelbagai jalinan usahasama, membina rangkaian industri serta menjana pelanggan berkredibiliti. Selain itu, berilah khidmat terbaik kepada pelanggan kerana ia juga faktor amat penting untuk terus berkembang maju dalam apa jua bidang yang anda ceburi. 

Sign Up for Our Newsletter

Khir Khalid
Written By

Khir Khalid is a certified marketing professional registered with the Institute of Marketing Malaysia. He is also an associate marketing consultant and a digital content writer for commercial sectors and agencies. Follow him on LinkedIn and website.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

people wearing diy masks people wearing diy masks

Etika Penting Dalam Merangka Strategi Pemasaran Sosial

Marketing

jamek mosque and big multi storey buildings jamek mosque and big multi storey buildings

Sejauh Mana Pentingnya Pemasaran Digital Untuk Sektor Perniagaan

Khir Khalid

Tidak Perlu Beli Perisian. Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google

Azleen Abdul Rahim

Kenali 3 Segmen Pemasaran Strategik Untuk Kempen Periklanan

Khir Khalid

Connect
Sign Up for Our Newsletter