fbpx
Connect with us

Subscribe

Originals

PKS Ceburi Perniagaan Pasca COVID-19

PKS perlu melihat bidang perniagaan teknologi yang sangat luas khususnya digital

Photo by Luke Ow on Unsplash

Penulis,  Mohd Prasad Hanif

COVID-19 bukan musibah yang singkat. Namun kerajaan terus komited memerangi pandemik ini secara bersepadu dengan kerjasama serta sokongan semua pihak serta tiap seorang rakyat Malaysia bagi memastikan misi sifar COVID-19 segera tercapai. Perkara yang sama penting ialah bagaimana usahawan melihat COVID-19 sebagai pencetus perubahan. Untuk itu, mereka harus peka dan melihat coronavirus ini dari sudut yang positif, lebih fleksibel dan kritikal tetapi penuh kreatif serta inovatif. 

Pemerhatian singkat mendapati, hampir semua sektor terjejas atau ditutup akibat penularan COVID-19. Tetapi antara yang teruk terkesan di sebalik musibah ini ialah komuniti lebih 900,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara. Perniagaan, perkhidmatan dan perusahaan mereka tidak beroperasi. Modal dan aliran tunai mereka rata-rata tidak ada lagi malah menanggung komitmen membayar balik pelbagai pinjaman.

Bagaimanapun kehidupan perlu diteruskan. Justeru, komuniti PKS perlu cepat-cepat menerima kenyataan ini daripada terus berdiam diri atau buntu. Mereka perlu mengatur semula langkah dan strategi sambil menyesuaikan diri dengan realiti baharu. Rancang perniagaan baharu dan cepat-cepat bertapak untuk menguasai pasaran. PKS perlu segera menjana aliran tunai yang mampan. Apa yang ingin disarankan ialah melihat ke dalam (inward). Maknanya, mereka perlu mengenal pasti potensi perniagaan baharu bakal mendapat sambutan di pasaran.

Tidak dinafikan, beberapa jenis perniagaan tiba-tiba muncul, popular dan laris. Contohnya, perniagaan dalam talian untuk pelbagai produk jualan dan khidmat seperti penghantaran. PKS juga boleh meninjau potensi perniagaan yang melibatkan penghantaran produk atau khidmat terus ke pintu rumah seperti makanan, dobi dan cucian kering, barang runcit dan produk segar, servis barang elektrik, rawatan kesihatan, perapian badan dan dandanan serta pembersihan.

Kelompok PKS lain perlu meninjau sektor sekuriti makanan. Justeru, kerajaan harus ada pelan induk mengenai pembabitan mereka dalam sektor strategik ini. Penularan COVID-19 menyaksikan produk tertentu dan penting tidak dapat dikeluarkan ataupun diimport. Ini menyebabkan bekalan menjadi terhad dan kritikal dengan harga jualan yang melambung. Sebenarnya, saiz kek keperluan bekalan makanan adalah sangat besar. Jumlah import makanan dianggarkan RM54 bilion setahun dan merupakan seperempat daripada nilai sebenar industri makanan yang dianggarkan RM216 bilion setahun. Wow!

Selain termaktub dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang mensasarkan pengurangan import makanan sebanyak 30 peratus, negara sebenarnya menuntut satu kesungguhan politik (political will), kesedaran nasionalisme, pelan induk dan pembiayaan untuk mempercepatkan kita mencapai status negara yang self-sufficient atau mencapai tahap keberdikarian dalam bekalan makanan. Usahawan mikro dan PKS boleh membantu merealisasikan sasaran ini dengan syarat ada kesungguhan institusi kewangan dan agensi untuk meluluskan pelbagai bentuk geran mahupun pinjaman yang ditawarkan.

Oleh demikian, kerajaan mesti menggembeleng sebahagian daripada 900,000 PKS untuk menceburi sektor sekuriti makanan yang ternyata lumayan dan strategik sama ada di pasaran domestik mahupun eksport yang bernilai RM35 bilion pada 2018. Dengan itu, negara perlu ada pelan induk, geran, input, kepakaran, pembiayaan atau peruntukan. Negara juga menagih satu  kesepaduan political will dengan komitmen padu agensi kerajaan berkaitan. 

Dengan itu, maka yakinlah bahawa kita mampu menjadi sebuah negara yang self-sufficient dan melalui krisis seumpama COVID-19 pada masa akan datang dengan lebih tenang serta berupaya. Inilah potensi dan produk yang boleh PKS teroka apabila melihat inward atau ke dalam. Perkara ini hampir pasti terjadi apabila kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jaminan Makanan, tidak lama lagi. Adalah dicadangkan supaya struktur jawatankuasa ini bukan satu badan tunggal peringkat Kabinet tetapi ada sub-struktur yang lebih ke akar umbi untuk penyaluran input dan pelaksanaan dua hala antara kerajaan dengan rakyat.

Kita juga harus memperincikan maksud terma, norma dan kebiasaan baharu yang muncul akibat COVID-19. Kemudian kita terjemahkannya kepada peluang perniagaan yang baharu. Antaranya, kita disogok dengan pemencilan atau pemenjaraan sosial dan penetapan jarak sosial, tuntutan urusan perniagaan dan perbankan dalam talian, kelulusan dokumen rasmi dalam talian, serta kepesatan aktiviti dalam talian seperti pembelajaran, seminar, tuisyen dan kursus secara virtual. Bernikah dan membayar zakat pun sudah dikuatkuasakan secara dalam talian. Ini antara kebiasaan baharu yang mula diterima sekarang.

PKS juga perlu melihat bidang perniagaan teknologi yang sangat luas khususnya digital. Akibat COVID-19, banyak perkara perlu diubah khususnya dari segi operasi. Kilang berintensifkan buruh selepas ini mungkin perlu mengurangkan pekerja untuk mengurangkan kos malah bagi mematuhi jarak sosial satu meter. Kekosongan tenaga kerja ini akan diganti dengan automasi, robotik dan integrasi sistem yang jelas semakin ketara berlaku. Justeru, sebahagian PKS juga boleh terjun ke bidang ini untuk membantu industri PKS lain atau pemodal besar melaksanakan transformasi dalam operasi syarikat masing-masing.

Selain itu, kerajaan juga wajar menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perubatan. Antaranya, menubuhkan Makmal Nasional untuk kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyatukan hasil dari serata institusi pendidikan serta penyelidikan berkaitan perubatan dan peralatan berakitan selain farmaseutikal dan pemakanan tambahan kesihatan. Dengan menjadikan perkara ini sebagai inisiatif nasional yang berkepentingan massa, hasil R&D yang terbaik boleh dikomersialkan segera oleh syarikat-syarikat yang menjadi rakan strategik. Antaranya, konsortium PKS berkaitan industri perubatan untuk menjayakan aspirasi Kabinet ini. 

Percayalah, tempoh satu atau dua tahun pasca COVID-19 ini akan menyaksikan banyak perubahan berlaku dan persaingan dijangka akan bermula di garisan permulaan. Selepas ada usahawan PKS serta sektor dan sub-sektor yang gulung tikar akibat COVID-19, maka akan muncul pula peluang-peluang  baharu hasil daripada permintaan daripada keperluan dan kebiasaan yang baharu ini. Peluang ini mesti diisi oleh PKS dan kerajaan wajar membantu untuk membolehkan mereka mempersiapkan diri seterusnya memanfaatkan peluang keemasan yang muncul dan akhirnya  menjadi peneraju-peneraju PKS yang berjaya di pasaran.

Mohd Prasad Hanif ialah Setiausaha Agung ADFIM.

Sign Up For Our Newsletter

Written By

Do you have an article, infographic, podcast, presentation slides, press release or a key individual from your organisation that you'd like to highlight on Marketing In Asia? Head on over to Upload Your Content for more info.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Tidak Perlu Beli Perisian. Ada Cara Mudah Untuk Dapatkan Kedudukan Tinggi Di Google

Azleen Abdul Rahim

Kenali 3 Segmen Pemasaran Strategik Untuk Kempen Periklanan

Khir Khalid

Ini Strategi Bisnes Yang Saya Sedang Lakukan Untuk Kekal Relevan Tahun Ini

Azleen Abdul Rahim

Bagaimana Adam Menjayakan Bisnes Atas Talian Tanpa Pengalaman

Azleen Abdul Rahim

Connect
Sign Up For Our Newsletter