fbpx
Connect with us

Subscribe

Perspectives

Pengalaman Bersama Mentor Saya, Mr Oikawa

Mentor didefinisikan sebagai “seorang pembimbing yang arif dan berpengalaman”

Apa kerja kamu? tanya Mr. Oikawa dengan pandangan mata yang tajam. “Buat salinan dokumen ini.” saya menjawab. “Itu arahan! Apa kerja kamu?!” tanyanya dengan suara yang lebih deras. “Maaf, saya tak faham.” kata saya dengan suara yang terketar-ketar. 

“Fotokopi itu arahan aku! Kerja kamu adalah…” sambil mengambil stapler, dan mengokot  dokumen yang telah saya fotokopi, “… ini!!” 

Apa yang Mr. Oikawa maksudkan adalah kerja bukan sekadar mendengar dan mengikut  arahan dengan baik. “Kerja” adalah “air tangan” kita dalam menghasilkan apa yang disuruh.  

“Nah, Fauzan. Kamu kena faham. Salinan dokumen ini untuk kamu. Kamu kena buat semua  ini untuk diri kamu, bukan aku. Faham?” 

… 

Mentor didefinisikan sebagai “seorang pembimbing yang arif dan berpengalaman”. Kini,  banyak organisasi sudah mula menjadikan program “mentoring” sebagai satu inisiatif rasmi.  Mentor dilantik dan dipadankan dengan pekerja berpotensi. Lebih kurang 20 tahun lalu,  perkataan mentor ini tidak begitu popular, malah tidak ramai yang sedar kepentingannya.  Saya antara yang bernasib baik. Jika Daniel Larusso ada Mr. Miyagi, dan Luke Skywalker ada  Yoda, saya ada Mr. Oikawa. 

Mr. Oikawa adalah tempat rujukan utama dan penyelia tidak rasmi bagi unit kami. Beliau  berada di Jepun, tapi “presence” beliau seolah-olah ada di depan mata. Hampir setiap hari ada saja komunikasi beliau dengan kami di Malaysia. Kalau tidak emel beliau akan hubungi  melalui telefon.  

Kami ada syarat apabila berhubung melalui panggilan telefon. Siapa yang dihubungi, jika  talian terputus, akan menghubungi semula pemanggil tadi. Ini pesannya, sebagai tanda  hormat dan rasa timbang rasa – sama-sama tanggung kos panggilan telefon. Yang kurang  seronok adalah apabila terputus sebab kena marah dan bebelan beliau yang panjang lebar.  Berat rasa hendak dail semula. Tapi kalau lambat hubungi semula, dan dia buat panggilan  terlebih dahulu, maka dua kali ganda kena marah dan bebel.  

Mr. Oikawa merupakan antara yang paling teruja apabila dikhabarkan saya masuk ke unit  tersebut. Beliau gembira kerana akhirnya ada seorang lagi ahli yang boleh bercakap bahasa  Jepun, selain bos saya. Pada waktu itu saya tidak faham kenapa beliau teruja, saya fikir  mungkin beliau senang untuk berurusan kerana bahasa Inggeris beliau kurang kemas.  Sangkaan tersebut tidak tepat. 

Saya hanya sedar kemudian, sebenarnya Mr. Oikawa sudah lama nampak potensi untuk  menggilap seorang protégé. Beliau mahu bos saya mengambil alih tugasnya sebagai pakar  rujuk. Bos saya sudah pernah dipanggil Mr. Oikawa selama enam (6) bulan “on-job training”  di Jepun. Namun kerana bos saya sudah berkeluarga dan ada komitmen, Mr. Oikawa faham  dan tidak mahu mengganggu. Apabila saya diambil bekerja, antara soalan paling kerap beliau  tanya pada bos saya ialah, “Bila Fauzan akan di hantar ke Jepun untuk dilatih?” 

Usaha beliau menekan pelbagai pihak untuk meluluskan bajet bagi saya dihantar ke Jepun  telah berjaya selepas setahun saya bekerja. Beliau mahu saya ke sana selama setahun, namun  syarikat hanya luluskan saya pergi untuk 3 bulan sahaja. Beliau gembira, namun saya  berdebar. Tempoh setahun bekerja, sudah cukup untuk saya kenal watak beliau yang agresif,  garang dan sangat tegas itu. 

Saya tidak boleh lupa kata-kata Mr. Oikawa sebaik saja saya tiba dan perkenalkan diri,  “Fauzan, mereka ini (merujuk pada rakan lain yang turut dihantar untuk latihan) boleh  datang sini dan makan angin. Kamu datang untuk belajar dengan aku. Jangan mimpi balik  jam 5:30 petang!” Saya hanya mampu tunduk sambil menelan air liur yang tersekat ditekak. 

Mr. Oikawa memang tidak main-main. Berkali-kali beliau sebut, “Aku minta setahun, mereka  bagi 3 bulan. Kita tak banyak masa.” Memang saya hampir tiada waktu rehat, malah waktu  rehat pun, saya diminta makan dengan beliau. Hanya waktu solat saja saya dapat “lari” sekejap.  Dalam tempoh tiga (3) bulan itu, saya hilang 12kg. Memang tertekan. 

Namun, jika direnungkan kembali, masa yang dihabiskan dengan Mr. Oikawa itu sangat tinggi  nilainya. Segarang-garang dan setegas-tegas beliau, sebenarnya hatinya sangat baik dan  hanya mahukan saya dapat sebanyak mungkin ilmu daripadanya. Seminggu sebelum saya  pulang, beliau bawa saya jalan-jalan. “Ajak kawan-kawan lain kalau mahu, tapi aku buat ini  untuk kamu.” Mr. Oikawa bawa kami pergi ke Nikko melihat permandangan pergunungan  yang sangat indah. Di hadapan air terjun, saya beranikan diri untuk ajak beliau bergambar  berdua. Inilah satu-satunya gambar saya dan beliau. Pada waktu ini, beliau nampak gembira  dan puas hati.  

Gambar saya bersama Mr. Oikawa, 2002, Nikko-shi, Tochigi, Japan.

Beberapa tahun selepas saya pulang, unit Mr. Oikawa di HQ telah dibubarkan. Pesanannya  pada saya melalui pangillan telefon, “Sekarang ini unit kamu perlu berdikari. Aku sudah tak  boleh bantu seperti dulu. Tapi, gambungan kamu dan bos kamu, sudah boleh buat  keputusan dengan baik, aku tak ada pun tak mengapa.” Saya kira Mr. Oikawa telah lakukan  yang terbaik untuk kami. Selepas itu, unit kami menjadi pusat rujukan utama menggantikan  tempatnya. 

Hanya sekarang, setelah masuk dunia latihan, baru saya faham apa yang Mr. Oikawa lakukan  itu, sebenarnya disebut pakar sebagai “Knowledge Management”. Beliau dengan kemampuan  dan dalam kapasiti sendiri, telah berusaha untuk pastikan ilmu dan pengalaman beliau terus  “hidup” dalam syarikat walaupun bertukar orang dan peranan.  

Sehingga ke hari ini, saya masih mengamalkan cara fikir dan etika kerja yang diterapkan oleh  Mr. Oikawa, walaupun ilmu khusus yang diajarnya dahulu sudah tidak terguna pakai dalam  bidang saya sekarang, kisah stapler itu masih saya sampaikan dalam sesi-sesi latihan saya. 

ありがとうございました、及川さん。 

大変お世話になりました。

Sign Up For Our Newsletter

Written By

Ahmad Fauzan Othman is the Lead Trainer for HRDF Train-the-Trainer certification course and has trained various level of employees from the private and public sector. Fauzan has been actively sharing content online since 2015 and has conducted numerous webinars which have had viewers from across the globe including Poland, India and South-East Asia. Follow him on LinkedIn.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

How Reverse Mentoring Can Eliminate Ageism In The Workplace

Perspectives

What’s Next For Influencer Marketing?

Perspectives

Gaming: Connected TV’s Hidden Champion

Perspectives

e-Signature: Is It Speeding Up Or Derailing Digitization?

Perspectives

Connect
Sign Up For Our Newsletter