fbpx
Connect with us

Subscribe

Business Entrepreneurship

Kerjaya Sebagai Freelance Trainer Di Malaysia

Kerjaya sebagai trainer dalam industri latihan di Malaysia ada pelbagai bentuk

Photo by Benjamin Child on Unsplash

Melalui pindaan Akta PSMB 2001 yang berkuatkuasa 1 Mac 2021, pasaran latihan di bawah  liputan HRDF telah berkembang berlipat kali ganda. Seramai lebih 8 juta pekerja dari semua  sektor kecuali penjawat awam akan dapat menikmati peluang menghadiri latihan yang mana  majikan mereka boleh menuntut semula perbelanjaan latihan tersebut daripada tabungan  levi HRDF. Ini secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang kepada para trainers di  Malaysia untuk aktif dalam “pasaran HRDF”. 

Secara peribadi, saya merasakan ini adalah tempoh masa paling sesuai untuk mereka yang  berminat menjadi trainer di Malaysia untuk memulakan langkah mencaburi bidang latihan  secara lebih serious. 

Pilihan Kerjaya Sebagai Trainer 

Kerjaya sebagai trainer dalam industri latihan di Malaysia ada pelbagai bentuk. Seorang  trainer, tanpa mengira topik pengkhususan boleh dibahagi kepada tiga (3) kategori. 

1. Trainer bermajikan (Employed Trainer) 
2. Trainer bebas (Freelance Trainer) 
3. Trainer bersyarikat sendiri (Business Owner Trainer)  

Sebelum timbul pertikaian tentang nama yang saya berikan di atas, izinkan saya huraikan  perbezaan asasnya. 

“Trainer bermajikan” adalah seorang yang diambil bekerja dalam satu organisasi sebagai  pekerja yang ditugaskan melatih orang lain (boleh jadi pekerja syarikat itu juga, atau orang  luar atas nama syarikat itu). Mereka biasanya memegang jawatan trainer disamping  mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lain. Untungnya menjadi trainer bermajikan  ialah, disamping bergaji tetap dan mempunyai “employee benefits”, perbelanjaan mengatur  urus latihan ditanggung oleh syarikat. Ada juga yang mempunyai kakitangan sokongan yang  akan membantu dalam kerja-kerja balik tabir persediaan menjalankan latihan. 

“Freelance Trainer” adalah seorang trainer yang tidak mempunyai sebarang ikatan  “employment” dengan mana-mana syarikat penyedia khidmat latihan (Training Provider).  Mereka bebas memilih untuk terima mana-mana job yang ditawarkan oleh syarikat penyedia  khidmat latihan yang mempunyai model bisnes yang menggunakan khidmat “associate  trainer” (beroperasi dengan tidak mengambil pekerja tetap untuk jawatan trainer). Freelance  Trainer tidak mempunyai gaji tetap dan “employee benefits”, oleh itu kelangsungan hidup  hanyalah bergantung kepada jumlah job yang mampu dilakukan.

Bergantung kepada  strategi trainer itu sendiri, mereka boleh menawarkan khidmat latihan mereka kepada  seberapa banyak syarikat penyedia khidmat latihan (TP) yang mereka mahu dan  menentukan sendiri “trainer fee” (upah) yang bakal mereka terima (tertakluk kepada  persetujuan TP). Untungnya menjadi Freelance Trainer ialah kebebasan menentukan jumlah  hari bekerja – mahu banyak, padatkan jadual; mahu rehat, tolak job yang dapat. Cuma, ada  TP yang hanya akan membiayai sebahagian daripada perbelanjaan latihan – nota dan alat  tulis TP sediakan, alat-alat untuk aktiviti seperti “experiential learning games” dan  sebagainya atas tanggungan trainer sendiri. 

Trainer bersyarikat sendiri pula, hampir sama dengan Freelance Trainer tadi cuma sekarang,  trainer juga harus menanggung kos operasi syarikat. Sebagai pemilik syarikat, skill set  (kelompok kemahiran) tambahan yang trainer tadi perlu ada ialah pengurusan bisnes.  Untungnya ialah, kesemua training fee (yuran latihan) adalah hak syarikat sendiri  berbanding trainer fee semasa menjadi freelance tadi. Bergantung kepada diri sendiri untuk  menguruskan kewangan agar “profit margin” berbaloi dan perbelanjaan (overheads) tertampung. Cuma, trainer juga perlu berusaha memastikan program latihan dijual dan ini  mungkin memakan masa trainer itu sendiri – tidak dapat “close sales”, tiada training; tiada pendapatan, tidak boleh tampung “overheads”; mahu buat lebih, perlu ada pekerja; tambah  pekerja, “overheads” naik. Begitulah paradoks model bisnes trainer bersyarikat sendiri.  

Jadi, dengan memahami tiga (3) kategori trainer di atas, bolehlah mulakan dengan menilai  kekuatan dan kelemahan diri, serta tinjau peluang dan risiko yang ada (dicadangkan  menjalankan analisa SWOT). Mudah-mudahan ketemu jawapan yang mana yang serasi  dengan diri sendiri tanpa perlu membanding-bandingkan untung nasib orang lain. 

Selain Sijil, Perlu Ada Strategi 

Sehingga tahun 2020, ada lebih daripada 30,000 trainers yang telah mendapat persijilan  HRDF. Namun begitu, dikhabarkan hanyak sekitar 8,000 trainers sahaja yang bergiat aktif.  Ini bermakna secara nisbahnya, hanya terdapat 1 trainer aktif bagi setiap 1,000 pekerja.  Memandangkan HRDF menghadkan 1 sesi latihan “soft skill” secara maksima kepada nisbah  35 peserta bagi seorang trainer dibernarkan, ini bererti peluang untuk para trainers masih  meluas. Cuma, trainers perlu sedar bahawa syarat untuk boleh bergiat dalam pasaran HRDF  adalah trainer tersebut perlu ada sijil HRDF – sama ada mendapat pengecualian atau  dengan menghadiri kursus persijilan HRDF Train-The-Trainer.  

Sebenarnya, hanya memiliki sijil tidaklah menjamin kejayaan sebagai trainer dalam pasaran  HRDF. Trainers perlu ada strategi tersendiri – baik dari segi pemasaran, mahupun modus  operandi.  

Kira Tapi Jangan Berkira 

Buku, kereta dan khidmat profesional. Tiga (3) ini, janganlah berkira sangat jika mahu  menjadi Freelance Trainer yang berjaya. 

Ya, memang duit sering jadi kekangan utama seorang Freelance Trainer sepenuh masa.  Namun, dalam kita mengikat perut untuk hidup jimat cermat, jangan kedekut untuk buku,  kereta dan khidmat profesional. 

Buku 

Buku adalah nadi training. Beli buku yang “original” agar ilmu yang disampaikan  juga “original”. Jangan pinjam buku orang lain tetapi malas hendak pulangkan balik.  Jangan “photocopy” melainkan buku itu sudah tiada dalam pasaran (not in  circulation). Beli sebagai tanda sokongan kepada usaha keras orang lain. InsyaAllah  ada berkatnya. 

Kereta 

Bukan untuk bermewah tetapi keperluan. Tidak perlu Honda, ada Perodua pun  cukup, janji boleh sampai ke tempat latihan dan tempat temujanji – bonus kalau alat  pendingin hawa kereta berfungsi. Dengan adanya kenderaan sendiri, kita tidak akan  menyusahkan orang lain untuk menguruskan perjalanan kita. Jangan benarkan hal hal seperti ini jadi gangguan kepada tenaga dan pola minda kita jika kita asyik 

hadkan pergerakan kita kerana tidak mahu keluar duit untuk isi minyak, bayar tol  dan bayar parking – semua ini patut termasuk dalam kos operasi bisnes kita sebagai  Freelance Trainer. 

Khidmat profesional 

Kita mahu dibayar secara profesional, maka kita juga jangan culas bayar untuk  khidmat profesional orang lain. Designer, jurufoto, penterjemah walaupun mungkin  nampak seperti kita boleh jimat dengan membuat sendiri, tiba masanya kita perlu  guna kepakaran orang lain untuk mendapatkan hasil yang lebih berkualiti. Lagipun,  kita akan dapat wujudkan “business ecosystem” dengan saling berkongsi rezeki. 

Bermain dengan Nombor 

Seterusnya, mari kita fahamkan dahulu aspek “nombor” bagi seorang freelance trainer. 

Bagi trainer yang baru dan belum dikenali dalam industri, harga pasaran “trainer fee” (upah) adalah antara RM800 – RM1200 sehari (minimum 7 jam). Ini bagi yang ada sijil HRDF-TTT.  Jika tiada, atau hanya ada sijil TTT yang lain, saya kurang pasti. 

Ya, akan ada yang menawarkan upah yang lebih tinggi, dan akan ada yang mahu bayar dengan kadar yang lebih rendah. Sendiri nilaikanlah harga tersebut sama ada berbaloi  dengan kepayahan tugas dan kemampuan diri menjamin kualiti atau hasil.  

Bagi tujuan mudah kira-kira, kita ambil purata RM1000 sehari.  

Jika komitmen dan perbelanjaan bulanan seperti kereta, rumah, bil telefon, barang dapur  dan sebagainya mencecah RM4000, ini bermakna kita perlu nampak jumlah hari training  wajib ialah minima 4 hari sebulan.  

Jangan kira undangan slot bercakap sejam atau dua jam, kerana kiraannya, walaupun slot 2  jam, kita sebenarnya telah kehilangan potensi kerja sehari – hanya “full day training” sahaja  dikira RM1000 sehari. Kiraan penuh 4 hari training dengan kita seorang sahaja sebagai  trainer, barulah dapat RM4000. 

Bagi ini berlaku, kita perlu “jual” program training kita. Kita perlu ada program training  yang modulnya lengkap untuk dua (2) hari atau 16 jam penuh. Program training ini perlu  lengkap dengan outline, slides, nota dan aktiviti yang bersesuaian.  

Jika ini belum lengkap, sila lengkapkan terlebih dahulu – tidak sempurna tidak mengapa,  tidak cantik juga tidak mengapa. Yang penting ada. Jangan orang minta, baru kita mahu buat! Ini akan makan masa dan memberi kesan kepada jumlah hari bekerja kita. Sebagai  panduan, saya mengambil masa 1.5 kali ganda jumlah hari latihan untuk kerja persediaan sebelum menjalankan sesi latihan.  

Daripada kira-kira ini, 4 hari x 1.5 hari persediaan, maka jumlah hari yang kita akan “sibuk  training” ialah 6 hari.  

Dalam sebulan, client bekerja lebih kurang 20 hari. Ini setelah ditolak cuti hujung minggu,  cuti umum dan mesyuarat-mesyuarat di syarikat yang menyebabkan mereka tidak sempat  membelek proposal program training kita.  

Kita tidak boleh beranggapan bahawa hanya kerana kita kerja tidak berkira masa, kita  mahukan klien turut respon tanpa mengira cuti hujung minggu. Klien kita adalah pekerja –

mereka bekerja mengikut waktu kerja. Maka, 20 hari bekerja, tolak hari sibuk training kita,  tinggallah 14 hari sebulan.  

14 hari inilah “window of opportunity” untuk kita menjual program latihan. Dan dalam pada  kita hendak menjual, jangan lupa bahawa bukannya segera – jumpa hari ini, esok program  jalan, ini tidak realistik. Kita jual sebulan atau dua bulan ke hadapan.  

Dan itu hanya untuk minimum 4 hari berbayar. Jika kita letakkan matlamat RM6000  sebulan, kita hanya ada 11 hari sebulan. 

“Tapi bukankah kita menjalankan latihan melalui syarikat penyedia khidmat latihan (TP)?  Bukankah mereka yang patut menjual?” 

Ya, mereka akan jual kepada klien mereka. Tetapi itu tidak bermakna kita duduk tunggu  sahaja. Mereka akan bawa kita untuk “pitch”, untuk “close”, untuk menjawab apa-apa soalan  yang klien mereka ada. Kita tidak boleh duduk rumah menunggu panggilan telefon sahaja.  Kita kena proaktif. Mudahkan kerja orang, barulah orang beri kita job. Dan jangan lupa,  semua ini berlaku sebelum program training berjalan, maka ia adalah “pelaburan” dari pihak  kita – model bisnes Freelance Trainer pun perlu ada modal pusingan juga.  

Gaya Hidup  

Freelance Trainer yang bijak adalah Freelance Trainer yang pandai menjaga gaya hidupnya. 

Tidak, saya bukan maksudkan melepak di Starbucks setiap hari untuk buat FB live atau  upload IG dengan alasan tempatnya selesa untuk buat kerja. Malah, saya nasihatkan jangan  bazirkan wang sebegitu tanpa sebab. 

Sebagai contoh, tempat paling baik untuk bertemu klien ialah dalam waktu bekerja, di  premis klien itu sendiri.  

Kenapa? 

Pertama, sebab kita memakai pakaian kerja – nampak kemas dan profesional. Tidak perlu  “full long suit”, cukup sekadar kemeja lengan panjang dan tali leher. Tak susah untuk berikan “good impression” dengan berpakaian formal kerja seperti ini. 

Kedua, membiasakan diri dengan tempat kerja klien. Pergi dengan bersikap “observant”.  Perhatikan persekitaran kerja mereka, baca poster-poster pada dinding pejabat mereka,  kenal pasti pengaruh semua ini kepada cara kerja mereka. Ini pembelajaran percuma untuk  kita agar kenal tahap profesionalisma kerja mereka. 

Ketiga, jimat daripada berbelanja tidak tentu hala. Jika mesyuarat di luar waktu kerja, pasti  tempatnya adalah tempat makan. Tidak semena-mena, keluar duit lebih untuk memesan sekurang-kurangnya minuman. Jika ke premis klien, memang kena keluar duit minyak,  tetapi ia jauh lebih baik daripada naik tren untuk berjumpa di tempat awan seperti pusat  membeli belah yang akhirnya membawa kepada aktiviti melilau “window shopping” selepas  itu.  

Keempat, mewujudkan disiplin. Jika kita mahu berurusan secara beretika, jumpalah dalam  waktu kerja di premis klien. Ia mengurangkan ruang untuk urusan “hanky-panky” seperti  minta komisyen, minta belanja dan sebagainya. 

Kelima, apabila kita ke premis client, kita ada “power of choice”. Jika kita tidak mahu job itu,  atas apa juga alasan, kita boleh bangun dan beredar. Ini lebih mudah daripada memohon  untuk orang beredar daripada tempat kita sendiri.

Ada banyak lagi contoh lain mengenai gaya hidup ini. Yang penting ialah pilihan – kena bijak  ukur baju pada badan sendiri. 

Disiplin 

Reputasi adalah nyawa bagi seorang Freelance Trainer. 

Mahu jaga nyawa, perlu pandai elak risiko perkara yang merbahaya. Mahu jaga reputasi,  perlu pandai urus diri! 

Walaupun nampak “cool” bekerja sehingga lewat malam, bersengkang mata hingga pagi dan  korbankan masa dengan keluarga untuk kerja, jangan lupa bahawa “trainer yang sakit ialah  trainer yang tidak berguna”. 

Disiplinkan diri dan masa dengan lima (5) tips berikut: 

1) Tidur awal, bangun awal – walaupun hari cuti. Ini membantu kita mengekalkan  momentum harian berbanding mereka yang tidur dan bangun lewat hujung minggu dan  “Monday blues” pada awal minggu. 

2) Janji hari ini, berikan hari ini. Belajar “estimate” masa dengan lebih baik – terutama  sekali apabila berjanji untuk berikan proposal atau outline kepada klien. Jangan janji  hari ini, namun selepas itu buat-buat terlupa dengan alasan sibuk dengan hal lain. 

3) Kerja “solid” 4 – 6 jam sehari. Disiplinkan diri untuk bekerja pada waktu khusus  (termasuk waktu rehat dan makan) bukan ikut “mood” atau ikut sempat. Didik  persekitaran (termasuk ahli keluarga) untuk tidak mengganggu dalam tempoh ini jika  bekerja depan komputer di rumah. 

4) “Work hard, play hard”. Apabila sedang bekerja, fokus. Apabila sedang beriadah dengan  keluarga, fokus juga! Jangan bazir masa berfikir tentang keluarga sewaktu bekerja dan  berfikir tentang kerja sewaktu bersama dengan keluarga. 

5) Utamakan aktiviti duit masuk banding duit keluar. Maksudnya di sini, jangan buang  masa seperti lepak mamak tengok bola atau mengeteh borak angan-angan kosong.  Utamakan aktiviti yang boleh bantu datangkan pendapatan atau meningkatkan nilai diri  seperti membaca, menghadiri majlis ilmu dan sesi networking. Aktiviti senaman juga  sebenarnya membantu “duit masuk” kerana ia menyumbang kepada kecergasan badan  disamping mencegah sakit. 

Lima (5) tips ini adalah beberapa amalan saya sendiri selama ini. Alhamdulillah, ia berhasil  untuk saya. Semoga ia membawa manfaat juga kepada yang cuba mengamalkannya. 

Networking Berstruktur 

Tidak dinafikan networking itu penting bagi seorang “freelancer”, lebih-lebih lagi Freelance  Trainer sepenuh masa. 

Saya sendiri pernah terlibat secara aktif dengan kumpulan “business networking”. Cuma, di  sini saya mahu kongsikan tips agar sebagai Freelance Trainer, kita tidak buang masa dengan  kumpulan networking yang tidak menyumbang kepada matlamat dan bisnes kita. 

Pertama, faham definisi “networking” 

Networking bukan sekadar masuk WhatsApp group atau Telegram atau Private Group FB. 

Networking adalah komitmen untuk berkenalan dan membina hubungan baik bagi  mewujudkan kepercayaan. Bukan masuk dan post iklan setiap 5 minit – orang tidak suka. 

Kedua, fahamkan cara bernetworking

“Networking is a contact sports”. Maka, perlu ada “sentuhan” – perlu berjumpa secara  bersemuka untuk kenal, berbual, mendengar dan cuba memahami sebelum difahami.  Jangan “spam” orang dengan cerita kehebatan diri saja – orang akan cepat rasa bosan. 

Ketiga, kaji platform networking 

Terdapat dua (2) jenis networking. Satu, mengembangkan jaringan kenalan dalam bidang  yang sama. Atau, mengembangkan jaringan kenalan dalam bidang yang berbeza. Kita cari  network yang mana? Jika trainer itu mahu kenal lebih ramai trainer, carilah network dalam  organisasi seperti persatuan trainer seperti MBTA, MAPTaC ataupun TAMRIN. Jika trainer  itu mahu kembangkan kenalan kepada mereka yang berlainan industri, boleh sertai BNI,  Rootwarmers ataupun dengan menghadiri kursus anjuran INSKEN mahupun program  PERDASAMA. Dan semasa di sana, hormat tuan rumah dan aturcara mereka. Jangan pergi  platform networking dan berkelakuan sesuka hati – orang akan pandang serong. 

Keempat, kaji kumpulan network tersebut 

Terdapat banyak kumpulan yang berselindung disebalik nama “business networking” tetapi  pada hakikatnya tidak aktif menggerakkannya. Sebelum menyertai mana-mana kumpulan,  buatlah “background research” – apa visi, misi, halatuju, budaya, siapa barisan kepimpinan,  

bagaimana mereka jalankan operasi dan sebagainya. Pastikan matlamat kita sendiri jelas,  dan carilah kumpulan yang sesuai. Jangan hanya ikut-ikut masuk tetapi tidak tahu hujung  pangkal – orang akan anggap kita tiada pendirian. 

Kelima, bersungguh-sungguh apabila networking 

Apabila menyertai mana-mana network, pastikan komited dengan acara kumpulan network  tersebut. Tunjukkan sikap positif dan proaktif. Apabila orang nampak kita, orang ingat kita.  Jangan hanya melukut di tepi gantang. Orang mahu ahli yang menyumbang, bukan kera  sumbang yang hanya harapkan bisnes datang bergolek – orang akan anggap kita tiada nilai  tambah. 

Kesimpulannya, networking sememangnya boleh meningkatkan social capital (modal sosial)  dan nilai seorang Freelance Trainer. Namun, seperti modal lain, ia juga satu bentuk  pelaburan. Jangan bernetwork untuk untung jangka masa pendek saja – tiada siapa suka  berkawan dengan seorang yang “opportunist”. 

Cabaran Freelance Trainer 

Setiap kelebihan, pasti datang dengan kekurangan. 

Seorang Freelance Trainer memang beruntung kerana mempunyai kos “overhead” operasi  yang rendah. Namun, salah satu cabaran utama bagi seorang Freelance Trainer, adalah  ketiadaan team atau pasukan sokongan.  

Team sangat diperlukan semasa hendak lakukan sesi percubaan seperti “dry run  presentation”, “trial run learning activities” dan “test run assessment tools”. Lebih-lebih lagi  untuk training topik baru, agak susah untuk dapatkan “test audience”. 

Dengan adanya team untuk tujuan ini, seorang trainer itu boleh melihat reaksi, mengukur  masa dan menjangkakan “outcome” yang bakal berlaku. Berlatih secara “visualisation” dan  depan cermin sahaja ada hadnya dan bagi sesetengah perkara, memang tidak cukup. 

Saya sendiri pernah menjadi Freelance Trainer sepenuh masa dari tahun 2011 sehingga  2015. Memang sukar apabila tiada team sokongan, kerana sudah biasa ada rakan sekerja  sebelum itu. Tetapi, saya bersyukur kerana ada rakan-rakan yang sanggup luangkan masa 

pada hujung minggu untuk membantu saya menjalankan sesi team building. Biasanya kami  pergi ke lokasi training awal dan jika sempat, uji games pada malam atau awal pagi sebelum  peserta sampai.  

Kesimpulannya, trainer yang mahu meningkatkan prestasi dalam menjalankan program  latihan perlu berlatih dengan “live audience” – ini pentingnya ada team, maka bergeraklah  dengan matlamat ini. Untuk jangka masa pendek, bolehlah minta ihsan kawan atau  jalankan “preview” percuma untuk prospek. 

Risiko Fulltime Freelance Trainer 

Apa maksud jadi Trainer Freelance sepenuh masa? 

Menjadi Fulltime Freelance Trainer, adalah kaedah paling mudah dan paling common bagi  seseorang yang ingin memulakan langkah dalam bidang latihan. Atas nama “kerjasama”,  “leverage” dan “collaboration”, trainer boleh menawarkan khidmatnya kepada syarikat  penyedia khidmat latihan (TP) untuk peluang mendapatkan job training. Rasa lebih bebas  kerana tiada komitmen sebagai pekerja, dan hanya berhubung secara “on job basis” sahaja. 

Memang bunyinya seronok, tetapi ada tiga (3) kesalahan yang saya sendiri pun pernah buat dahulu kerana tidak cukup bimbingan semasa mula-mula menjadi Fulltime Freelance  Trainer dulu. 

Pertama sekali, saya tidak bekerja dengan mana-mana TP secara ekslusif. Maka job datang  tidak menentu, jadi duit yang masuk digunakan sepenuhnya untuk kelangsungan hidup. 

Risiko pada waktu ini ialah dengan tiada caruman KWSP, PERKESO dan tiada “medical  benefit” – saya tidak ada “tabung kecemasan”. 

Kedua, saya tidak membahagi-bahagikan topik latihan yang saya boleh kendalikan kepada  mana-mana TP khusus – semua TP dapat outline yang sama. 

Risiko di sini ialah TP jual ikut senang. Kadang-kadang berpuluh outline diberi, sudahnya  TP minta yang baru juga – perlu “customized” setiap kali ada permintaan. 

Ketiga, saya tidak utamakan masa, asal dapat job, saya bersetuju. 

Risiko di sini ialah jadual saya ditentukan oleh orang lain. Awal bulan nampak jadual penuh,  tiba pertengahan bulan, program itu dibatalkan, program ini tunda, sudahnya akhir bulan  kosong dan pendapatan jadi tidak mencukupi. 

Tiga (3) kesalahan ini membawa risiko yang sangat besar sebenarnya. Alhamdulillah pada  waktu itu, tiada perkara yang tidak diingini berlaku.  

Sebenarnya, ada strategi yang betul untuk jadi Fulltime Freelance Trainer, dan saya telah  ketemu formulanya beberapa tahun kemudian. Cuma sekarang saya lebih selesa dengan  model bisnes saya dan tidak lagi menjadi Fulltime Freelance Trainer. InsyaAllah, saya akan terus berkongsi pengalaman dan tips dari semasa ke semasa sebagai rujukan trainers baru di  luar sana. 

Kepada yang mungkin mahu dapatkan bimbingan secara langsung, InsyaAllah kita boleh  berjumpa dalam kursus persijilan HRDF Train-The-Trainer atau mana-mana program  berkaitan Trainers Development yang dikendalikan.

Sign Up For Our Newsletter

Written By

Ahmad Fauzan Othman is the Lead Trainer for HRDF Train-the-Trainer certification course and has trained various level of employees from the private and public sector. Fauzan has been actively sharing content online since 2015 and has conducted numerous webinars which have had viewers from across the globe including Poland, India and South-East Asia. Follow him on LinkedIn.

Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Connect
Sign Up For Our Newsletter