Adalah amat penting untuk memilih jenis logo perniagaan yang mampu mewakili perniagaan anda dan membentuk satu identiti yang gah, kukuh serta boleh dipercayai.
Terdapat 7 jenis logo yang boleh anda pilih untuk mewakili perniagaan yang anda jalankan. Antaranya adalah monogram, abstrak, gambar, wordmark, maskot, emblem dan kombinasi.
Seperti yang pernah diterangkan dalam artikel sebelum ini, logo adalah salah satu elemen yang penting untuk sesebuah perniagaan. Logo memainkan peranan sebagai cop mohor yang digunakan untuk semua urusan rasmi atau tidak rasmi untuk mana – mana syarikat.
Jadi, adalah amat penting untuk memilih jenis logo perniagaan yang mampu mewakili perniagaan anda dan membentuk satu identiti yang gah, kukuh serta boleh dipercayai. Pastikan anda melibatkan diri dalam urusan penciptaan logo syarikat anda dan jangan sesekali menyerahkannya kepada designer yang anda upah.
1. Monogram / Lettermark
Monogram adalah logo yang menggunakan singkatan nama sesebuah jenama atau syarikat yang diwakilinya. Antara jenama antarabangsa yang menggunakan monogram dalam logo mereka adalah Hewlett – Packard (HP), Chanel, Louis Vuitton (LV), Cable News Network (CNN), Home Box Office (HBO) dan Life’s Good (LG). Logo ini menjadi pilihan syarikat atau jenama yang susah disebut.
Kebiasaannya, 1 hingga 3 huruf dipilih untuk diletakkan dalam logo yang mewakili jenama itu sendiri. Seperti yang dapat dilihat daripada contoh jenama yang menggunakan monogram, penggunaan logo seperti ini sebenarnya memudahkan cara sebutan dan lebih dekat dengan pengguna.
Jarang kita dengar orang menyebut nama penuh Louis Vuitton, kan? Orang lebih gemar menggunakan singkat LV yang lebih mesra sebutannya berbanding nama penuhnya.
Selain itu, jenama yang mempunyai nama yang panjang juga sering menggunakan monogram sebagai simbol pilihan mereka. Ini memudahkan pengguna mengingati nama mereka dalam satu bentuk yang lebih ringkas dan kedengaran kukuh.
2. Wordmark / Logotypes
Sesuai dengan namanya, logo jenis ini menggunakan perkataan untuk mewakili syarikat dan jenama. Syarikat atau jenama yang mempunyai nama yang pendek dan senang disebut selalunya menggunakan logo jenis wordmark ini. Sebagai contoh, Google menggunakan jenamanya secara keseluruhan sebagai logonya.
Nama Google sendiri cukup menarik perhatian dan sangat mudah disebut untuk mana – mana penutur bahasa yang berbeza. Gabungkan dengan penggunaan font yang menarik, maka terhasillah satu logo yang sememangnya dikenali ramai dengan pengunaan identiti jenama yang kukuh. Ini sebenarnya membantu pengguna mengecam dan mengingat dengan lebih mudah.
Contoh jenama terkenal yang lain adalah Coca – Cola. Walaupun suku katanya agak panjang, penggunaan logo jenis wordmark masih lagi relevan dan menjadi salah satu tanda unik untuk Coca – Cola. Jenama ini juga amat senang disebut dan tiada masalah ‘language boundary’ dan ia juga merupakan nama yang boleh dikatakan ‘one of its kind’.
3. Gambar
Logo bergambar adalah logo yang menggunakan ikon atau gambar grafik yang mempunyai kaitan dengan jenama yang diwakilinya. Jenama terkenal Apple menggunakan logo gambar buah epal yang digarap dengan kesan gigitan. Jika dilihat, kesan gigitan (bite) itu sebenarnya amat menarik dan unik serta menceritakan perniagaan yang dijalankan oleh Apple.
Twitter juga adalah contoh jenama yang menggunakan gambar sebagai logonya. Sekarang, jika disebut sahaja nama Twitter, kebanyakan orang akan terus mengingati logo burung yang berwarna biru. Ia adalah satu logo yang amat kreatif dan sangat kena dengan fungsi tweet atau ciapan yang digunakan sebagai konsep Twitter.
4. Abstrak
Logo jenis abstrak pula menggunakan corak – corak yang mungkin tiada kena – mengena dengan nama sesebuah jenama atau syarikat. Namun, ini tidak bermakna logo jenis abstrak ini tidak mampu menonjolkan identiti yang kukuh.
Lihat sahaja penggunaan logo Nike yang diwakili oleh tanda ‘betul’ yang kini menjadi logo ikonik yang melambangkan identity gah Nike sendiri. Penggunaan logo abstrak yang nampak agak random sebenarnya menjadi tanda unik yang mengingatkan sesebuah jenama itu.
Selain itu, logo Pepsi juga turut menggunakan logo bergambar ini. Pepsi bijak mengeksploitasi warna – warna yang menarik perhatian dan terus mengingatkan penonton dengan jenama minuman ringan itu.
5. Maskot
Logo jenis maskot pula menggunakan gambar ilustrasi yang mewakili syarikat atau jenama anda. Maskot ini boleh dianggap sebagai duta yang mewakili sesebuah syarikat. Jika diperhatikan, maskot sebenarnya amat disukai ramai. Lihat sahaja di majlis atau parti, kehadiran maskot memeriahkan lagi majlis itu. Di taman – taman, mereka yang mencari rezeki dengan menjadi maskot juga menjadi perhatian ramai.
Antara jenama terkenal di antarabangsa dan di Malaysia, Kentucky Fried Chicken (KFC) adalah salah satu contoh logo jenis maskot yang berkuasa. Penggunaan gambar ilustrasi pengasas KFC, Colonel Sanders menjadi satu logo yang amat unik dan membawa identity KFC sendiri.
6. Kombinasi
Kombinasi bermaksud campuran atau gabungan dua elemen atau jenis logo dalam satu logo yang direka untuk mewakili sesebuah jenama atau syarikat. Gabungan gambar dan perkataan boleh diletakkan dalam kedudukan sebelah menyebelah atau atas dan bawah atau mana – mana yang sesuai. Jenis – jenis logo juga boleh digabungkan mengikut kreativiti designer sendiri.
Sebagai contoh, restoran makanan segera Domino’s menggabungkan dua jenis logo iaitu logo gambar dan wordmark. Penggunaan logo gabungan ini memberikan gambaran jelas tentang nama syarikat dan jenis perniagaan yang mereka jalankan. Contoh lain jenama yang menggunakan logo gabungan ialah Burger King, Lacoste dan Doritos.
7. Emblem
Emblem adalah satu lambang yang digunakan oleh syarikat dan jenama untuk mewakili mereka. Logo jenis emblem ini kebiasaannya mengandungi lencana atau cap mohor. Logo ini juga sering menjadi pilihan sekolah atau university seperti Harvard.
Ia mungkin kelihatan tradisional tetapi masih kelihatan berprestij dan gah apabila sesuatu organisasi menggunakan emblem sebagai logo yang mewakili mereka. Antara jenama lain yang menggunakan emblem adalah Starbucks, Lamborghini, Harley Davidson atau BMW.
Konklusinya, segala aspek dalam proses pembikinan logo sesebuah syarikat haruslah diteliti dan dikaji dengan mendalam. Logo ini adalah simbol yang akan mewakili jenama atau syarikat atau organisasi dalam jangka masa yang lama. Sekiranya dibuat dengan baik dan disuntik dengan jiwa atau imej syarikat, tidak mustahil ianya akan menjadi logo yang membawa nama gah syarikat di mata dunia.
Fara Naqui adalah seorang usahawan yang telah lama berkecimpung dalam dunia perniagaan dan berpengetahuan dalam personal branding melalui perkongsian secara langsung di media sosial. Beliau aktif menyampaikan content untuk personal branding di Website Fara Naqui, LinkedIn dan YouTube.