Sejak bermula krisis Covid-19 sehingga kini, kita telah mengharungi pelbagai cabaran yang membawa perubahan ‘normal baharu’ dalam rutin harian dan kehidupan bermasyarakat. Krisis ini bukan sahaja mengubah landskap kehidupan dunia, tetapi turut mempengaruhi peralihan trend pasaran kepada perspektif yang baharu.
Peningkatan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan platform digital juga merupakan kesan drastik yang terhasil daripada krisis Covid-19 ini. Ramai dikalangan kita mula melihat potensi ‘online’ bukan lagi sekadar untuk hiburan, tetapi memudahkan pelbagai komitmen kerja dan kehidupan. Tanpa perlu pertemuan secara fizikal, ia adalah pilihan terbaik yang kos efektif dan selamat.
Atas faktor itu, ada beberapa trend yang perlu kita ketahui sebagai ahli pemasaran dan usahawan dalam mendepani ‘normal baharu’. Suka atau tidak, kini kita tidak boleh memandang sebelah mata lagi terhadap kredibiliti dunia atas talian. Trend pasaran sekali lagi telah berubah.
Peralihan Trend Pasaran Normal Baharu
Antara perubahan jelas ‘normal baharu’ adalah pertemuan secara atas talian. Ia bukan lagi sesuatu perkara asing buat kita semua. Dalam tempoh kurang 3 bulan, webinar, mesyuarat, pembelajaran malah pelancaran produk dan perniagaan melalui platform seperti Zoom, Google Classroom dan media sosial menjadi perkara ‘normal’ buat kita semua.
Saya juga tidak terkecuali daripada menghadiri webinar dan ‘online meetup’ setiap minggu. Terdapat pelbagai perspektif dari peneraju dan pakar industri dalam mendepani normal baharu. Namun 3 asas paling penting tentang realiti peralihan trend pasaran pasca PKP dan Covid-19 ini boleh dijadikan landasan persediaan dalam memperkukuh strategi pemasaran perniagaan anda.
Pendedahan Fizikal Kepada Pengalaman Maya (Physical Exposure > Virtual Experience). Pengalaman PKP atau ‘quarantine’ dan ‘lockdown’ di sesetengah negara dunia telah menjadi pemangkin menyuburkan lagi pemasaran secara atas talian. Secara tidak langsung ia telah mendidik sebahagian besar pengguna untuk beralih daripada pendedahan fizikal kepada pengalaman maya.
Antara cabaran para peniaga tempatan adalah ketidaksediaan kita berbanding pasaran antarabangsa dalam kemudahan edagang. Ini menyaksikan kenaikan permintaan produk-produk dari luar negara seperti China melalui pemasaran ‘online marketplace’ yang telah tersedia sebelum krisis berlaku. Ia turut membantutkan permintaan produk-produk tempatan sehingga memaksa sebahagian besar usahawan dan para peniaga kita untuk mempelajari dan memanfaatkan potensi digital dengan lebih komited sebagai inisiatif penting untuk kelangsungan perniagaan.
Lebih Prihatin Tentang Kesejahteraan (Health-Oblivious > Wellness-Conscious). Sebahagian besar pengguna hari ini semakin sedar tentang kepentingan kesihatan dan kesejahteraan berbanding sebelumnya. Ini antara kesan krisis terhadap pasaran pengguna sehingga mempengaruhi daya tarikan dalam memilih jenama, produk dan perkhidmatan termasuk mengurus gaya hidup.
Peralihan ini memberikan kesan jangka panjang kepada pasaran. Kini, produk berkaitan sukan dan penjagaan kesihatan meningkat drastik mendahului senarai permintaan di pasaran dunia. Tidak ketinggalan, apa jua produk yang menekankan keperihatinan ‘wellness’ dan alam sekitar akan terus menjadi pilihan masa kini dan akan datang.
Pasaran Lokal Kepada Akses Global (Local Limits to Global Access). Setiap perniagaan kini perlu lebih giat meneroka potensi pasaran global melalui kreativiti, kemampuan pengurusan dan produktiviti, jaringan pemasaran serta platform marketplace yang strategik. Kini, kita bukan lagi bersaing dengan skala perniagaan tempatan, tetapi penawaran dan promosi produk-produk luar yang masuk dan mendapat tempat di hati pengguna disebabkan akses yang mudah.
Justeru itu, para pengusaha, ahli pemasaran tempatan termasuk sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya, kini perlu lebih fokus dalam membangun bakat digital agar dapat meneroka potensi pasaran global selaras kemajuan revolusi perindustrian ke-empat kini.
Memperkukuh Potensi Pasaran Masa Hadapan
Tiga faktor di atas juga antara kesedaran yang ditekankan oleh Maverick Foo, seorang pakar strategi pemasaran dalam salah satu webinar yang saya hadiri. Disamping membina usaha dalam meneroka pasaran baharu, pada masa-masa pemulihan ini juga kita semua digalakkan agar sentiasa menjaga hubungan terutama kepada para pelanggan sedia ada kerana ia adalah aset paling berharga.
Sentiasa menambahbaik perniagaan dengan memanfaatkan Analisa SWOT dalam memperkasa strategi pemasaran agar dapat bertahan dan berkembang bagi mendepani cabaran semasa. Begitu juga dengan kaedah ‘storytelling’ yang tetap releven dalam menjaga perhubungan sedia ada pelanggan melalui platform atas talian seperti media sosial sebagai elemen sentuhan peribadi dalam situasi kini.
Selain itu, terus memperkukuh penjenamaan dan kredibiliti digital agar perniagaan sentiasa terus mendapat kepercayaan pelanggan dalam ketidaktentuan pasaran disebabkan krisis Covid-19 ini.