Kita semua tahu, kebanyakan jenama bersaiz kecil dan sederhana tidak gemar untuk membayar perkhidmatan yang melibatkan strategi pemasaran. Walaupun harga yang ditawarkan berpatutan, mereka tidak mahu membayarnya. Mengapa? Kerana mereka lebih percaya kepada sesuatu yang mereka dapat lihat. Mereka lebih gemar membayar sesuatu yang mereka dapat lihat dan hasil yang boleh dijangkakan.
Untuk mendapatkan perkhidmatan pengurusan media sosial contohnya, memang murah. Mereka boleh mendapatkannya dengan harga serendah RM500 sebulan. Dan mereka juga boleh jangkakan hasilnya. Hasilnya ialah mereka akan memiliki media sosial yang aktif dan pengikut yang ramai. Begitu juga dengan merekabentuk grafik, hanya dengan RM200 untuk setiap rekabentuk. Ada juga yang menawarkan rekabentuk grafik tanpa had hanya dengan RM1,600 sebulan. Hasilnya, mereka akan mempunyai kandungan seperti poster, infografik untuk penggunaan syarikat dan media sosial. Penulisan blog juga murah. Cuma RM0.40 untuk setiap perkataan, mereka boleh memiliki artikel yang mempunyai penceritaan yang baik.
Tetapi untuk membayar sesuatu perkhidmatan yang hanya sekadar diluahkan melalui ‘air liur’ dan diterjemahkan dalam bentuk penulisan strategi yang belum tentu akan membuahkan hasil, mereka lebih gemar mendapatkan khidmat yang sama dari syarikat perundingan orang putih.
Apakah yang dimaksudkan dengan strategi pemasaran?
Ramai yang kata, perundingan atau consulting ini adalah bisnes jual air liur. Bagi saya, tohmahan ini memang tepat sekali. Ia memang bisnes jual air liur. Walaupun begitu, setiap buah fikiran, nasihat, cadangan dan pendapat yang disediakan adalah berstruktur dan mampu mendatangkan hasil kerana ia disediakan berdasarkan kejayaan, kegagalan, kepakaran, pembacaan dan pemerhatian yang diperolehi dari bertahun-tahun pengalaman pahit manis sebelum ini. Tidak wajar bagi saya seseorang juruperunding itu berkongsi kaedah-kaedah yang terperinci tertentu dengan begitu sahaja dengan percuma.
Untuk pengetahuan anda, khidmat perundingan strategi pemasaran ialah satu aktiviti perbincangan berstruktur berterusan yang diadakan di antara pemilik atau pengurusan jenama dengan pakar strategi pemasaran dengan tujuan merancang, membina dan menjalankan satu strategi jangka pendek sederhana dan panjang yang berkesan bagi mencapai objektif pemasaran syarikat. Di antara objektif syarikat yang biasa kita dengar ialah keinginan untuk mendapatkan autoriti dalam industri mereka yang akan menghasilkan peningkatan jualan yang baik dan berkekalan.
Dalam sesi ini, perbincangan biasanya akan diketuai oleh pakar strategi pemasaran yang dilantik. Sesi perundingan, perbincangan, perancangan, pembinaan dan aktiviti-aktiviti untuk menjalankan strategi pemasaran ini akan diadakan sekurang-kurangnya sekali seminggu atau dua minggu. Setiap sesi perbincangan biasanya berlangsung agak lama, dua hingga ke empat jam. Perbincangan biasanya bukan sahaja merangkumi kesemua aspek pemasaran tetapi juga aspek-aspek syarikat itu sendiri seperti khidmat pelanggan, proses-proses penyediaan dan penghantaran produ yang ditempah dan lain-lain lagi. Sesi perbincangan ini akan melihat kesemua aspek tadi terlebih dahulu, kemudian mengambil beberapa elemen yang sesuai dan kemudiannya menyusun kembali elemen-elemen tadi bagi mewujudkan strategi pemasaran yang padu untuk syarikat tadi.
Misalnya aspek media sosial, pakar strategi pemasaran akan menasihati pasukan media sosial apa yang perlu dimuatnaik, apa yang tidak boleh dimuatnaik, mengapa ia perlu dimuatnaik sebegitu rupa dan sebagainya. Pasukan rekabentuk grafik juga akan dinasihati tentang apa yang perlu direkabentuk, cara penulisan, posisi objek, pemilihan warna dan juga pemilihan perkataan yang sesuai dengan jenama syarikat mereka. Sama juga dengan penulisan blog, pasukan blog akan dinasihati tentang bagaimana pemilihan tajuk harus dibuat, kata-kata kunci yang perlu dan tidak perlu digunakan, tahap kepanjangan artikel yang perlu ditulis dan di mana artikel tadi perlu ditempatkan.
Pasukan media sosial memang pakar dalam aspek bersosial dan bersembang aktif secara dalam talian tetapi mereka tidak faham bagaimana untuk menggunakan media sosial agar para pengikut media sosial, setelah bersembang, akan datang melawat ke laman web dan membeli produk yang dijual. Pasukan media sosial tidak faham bagaimana untuk menjawab setiap pertanyaan yang diterima agar individu yang bertanya itu boleh mendaftar sebagai pembeli atau sebagai ejen yang berminat untuk menjual produk yang disediakan. Pasukan media sosial juga tidak faham bagaimana untuk mengendalikan keluhan atau pelanggan yang bermasalah secara dalam talian dan ayat-ayat yang perlu digunapakai bagi meneutralkan keadaan.
Sama juga dengan perekabentuk grafik, tidak dinafikan yang mereka memang pakar, sangat kreatif dan sangat mahir bagaimana menggunakan perisian-perisian bagi mewujudkan grafik yang cantik. Mereka tahu bagaimana untuk merekabentuk poster, infografik dan video yang baik tetapi mereka tidak tahu apa yang perlu dimasukkan dan tidak perlu dimasukkan ke dalam sesuatu rekaan yang dibina. Mereka juga tidak tahu bagaimana ayat yang perlu ditulis untuk poster, menu atau video yang dibina. Mereka juga tidak tahu strategi dibelakang setiap gambar yang perlu digunakan agar sesiapa yang melihatnya tidak akan sekadar melihat sahaja tetapi terus bertindak membuat pesanan. Mereka juga tidak tahu mengapa setiap rekaan grafik yang dibina perlu konsisten dengan jenama syarikat.
Mengapa perundingan strategi pemasaran mahal?
Pertama, syarikat tidak mempunyai kekuatan asas bagi menjayakan sesuatu strategi pemasaran yang ideal. Jadi strategi pemasaran yang ideal itu tadi perlu ditukar dan direkabentuk agar sesuai dengan keadaan syarikat yang mempunyai kekangan-kekangan tertentu seperti kewangan, pekerja yang mahir, proses yang tidak lengkap, tiada dokumentasi dan sebagainya.
Kebanyakan syarikat tidak mempunyai nilai tawaran yang sangat kuat dan unik. Ini merupakan kekangan utama yang sering dihadapi hampir setiap jenama. Mereka tidak tahu bagaimana membuatkan jenama dan produk mereka sangat istimewa di mata masyarakat. Ini masalah strategi yang paling mahal. Apabila strategi telah berjaya dikenalpasti, ia tidak pula selari dengan strategi yang digunapakai sekarang. Jadi ia perlu ditukar.
Apabila strategi ditukar, setiap taktik yang sepatutnya dilakukan seiring dengan strategi tadi juga perlu ditukar. Contohnya begini. Di dalam strategi pemasaran baharu yang melibatkan enjin pencarian, tiba-tiba syarikat memberitahu bahawa laman web mereka yang ada tidak mempunyai ruangan blog. Dan pengendali laman web mereka pula berada di India dan bukannya di Malaysia.
Kontrak pengendali laman web itu pula sudah bertahun-tahun tidak diperbaharui. Apabila ini berlaku, strategi pemasaran tadi perlu diubah melainkan pemilik syarikat perlu terlebih dahulu menyelesaikan masalahnya dengan pengendali laman web yang sedia ada ataupun mencari nama domain, hosting dan pengendali laman web yang baharu. Ada pula syarikat yang bermasalah dengan pengendali media sosial, ataupun mempunyai domain yang tidak sesuai dengan identiti syarikat. Masalah-masalah ini ada jawapannya dan hanya dengan strategi pemasaran yang tepat sahaja yang akan mampu memastikan syarikat-syarikat ini berada kukuh di pasaran.
Lihat bagaimana McDonald’s, Starbucks, Netflix dan IKEA boleh membuatkan orang ramai beratur berkilometer panjangnya semata-mata untuk membayar mereka. Mereka mengambil masa tidak kurang 20 tahun untuk mencapai tahap ini. Mereka menggunakan strategi pemasaran yang tepat bagi mencapai tahap sebegini walaupun terpaksa mengambil masa yang sangat lama. Tetapi bagi saya walaupun mereka perlu membayar untuk strategi pemasaran yang baik, ia sangat berbaloi.