Terdapat pelbagai strategi pemasaran digital yang boleh dimanfaatkan pada masa kini. Ada yang menggunakan platform digital yang diperkasa dengan khidmat media massa, media cetak dan media online, ada yang melantik individu terkenal sebagai duta produk dan ada juga yang lebih selesa memilih untuk berkolaborasi dengan ‘micro influencers’.
Membina kerjasama dengan micro influencer juga bukan perkara asing bagi sebahagian besar perniagaan bertaraf multinasional, agensi kerajaan, sektor komersil dan NGO sehinggalah kepada perusahaan kecil sederhana. Ia salah satu kaedah pilihan bagi meningkatkan kredibiliti organisasi, juga melariskan perniagaan kepada pelanggan serta prospek pasaran dengan pendekatan yang lebih ‘personal’.
Namun, tidak semua perniagaan yang memahami potensi micro influencer ini. Tanpa pengetahuan dan strategi yang betul, ia mungkin satu peluang pemasaran strategik, kos efektif dan berkesan yang amat sesuai untuk perniagaan anda tetapi akhirnya dibiarkan terlepas begitu sahaja.
Apa Itu Micro Influencer?
Micro influencer merupakan individu yang aktif dalam platform digital seperti blog dan media sosial. Mereka biasanya dikenali sebagai blogger, vlogger, Instagrammer atau social media influencer dan memahami teknik mengendali pengisian blog serta engagement media sosial dengan baik.
Berbeza dengan macro influencer seperti para selebriti, personaliti popular atau ‘key opinion leader’, micro influencer memiliki kurang dari 10,000 pengikut di setiap platform media sosial, namun mempunyai niche dan pengaruh tersendiri dikalangan ‘followers’ mereka. Kebanyakan mereka membina ‘establishment’ melalui self-funded proposal secara atas talian sehingga dikenali di enjin carian dan jaringan media sosial.
Kini terdapat ramai selebriti, personaliti malah usahawan online terkenal yang sebenarnya bermula sebagai micro influencer. Begitulah juga bagi sebahagian penjenamaan, produk dan perkhidmatan yang secara realiti telah berjaya membina legasi melalui kolaborasi sokongan micro influencer ini.
Banyak jenama yang mungkin tidak kita lihat di kaca tv, tetapi kini semakin terkenal dan mendapat hati dikalangan masyarakat. Perniagaan dan penjenamaan seperti ini turut dijayakan melalui pengaruh berdasarkan ‘personal trust’ yang terbina antara follower dan micro influencer.
Oleh itu, ada beberapa faktor asas yang perlu difahami sekiranya anda berhasrat menjayakan strategi pemasaran melalui khidmat micro influencer bagi mencapai objektif yang disasarkan. Berikut 4 asas yang perlu anda tahu tentang micro influencer:
Niche. Micro influencer seperti blogger, vlogger dan Instagrammer, pasti mempunyai niche, iaitu fokus pengisian yang menjadi tarikan kepada audien. Terdapat pelbagai niche seperti Informasi, Gaya Hidup, Keibubapaan, Pendidikan, Kesihatan, Makanan, Kewangan, Kembara, Fesyen, Kecantikan ataupun Hiburan. Ia boleh anda lihat di profil dan kandungan yang dikongsikan.
Mengenalpasti niche selaras hasrat pemasaran adalah perkara penting. Sekiranya anda memasarkan produk kecantikan, niche berkaitan Kecantikan pasti bersesuaian. Anda juga boleh pertimbangkan niche Gaya Hidup dan Informasi, malah Fesyen, Kembara atau Keibubapaan untuk meluaskan lagi capaian kepada prospek pasaran berkaitan.
Kreativiti. Buat tinjauan kreativiti kandungan berdasarkan pengisian sedia ada bagi setiap micro influencer yang anda ingin pilih untuk bekerjasama. Ia merangkumi gaya penulisan, mutu gambar atau suntingan video yang dikongsikan kerana ia turut memberi refleksi terhadap penjenamaan, produk, perkhidmatan serta perniagaan anda.
Perlu juga anda tahu pada kebiasaannya, follower dan audien bagi kebanyakan micro influencer ini mengenali personaliti mereka merangkumi keluarga, hobi dan minat serta sebahagian jurnal kehidupan yang dipaparkan di media sosial. Ia juga mempengaruhi kreativiti kandungan yang lebih bersifat ‘personal storytelling’ dan ‘word of mouth’ yang berbeza dengan kaedah copywriting komersil.
Kredibiliti Digital. Setiap micro influencer mempunyai kekuatan saluran digital yang berbeza. Ada yang mempunyai interaksi yang tinggi di blog dan ada juga di media sosial sama ada Facebook, Instagram atau keduanya. Bagi sesetengah kempen, analitik pengunjung dan jumlah engagement post juga perlu diambil kira bagi memastikan keseimbangan dan kuasa viral antara kesemuanya.
Rate Card. Setiap micro influencer pasti menyediakan pakej editorial, advertorial dan review yang merangkumi perkongsian di platform digital dan rangkaian media sosial. Kandungan yang dihasilkan juga kebiasaannya kekal. Anda boleh dapatkan sebut harga atau perbincangan lanjut melalui emel atau info perhubungan yang disediakan di blog atau platform media sosial mereka.
Pelaksanaan Strategi Pemasaran Micro Influencer
Berdasarkan penglibatan dalam pelbagai usahasama micro dan macro influencer terutamanya bersama jaringan penulis blog dan media online di Malaysia sejak 2011, ada beberapa faktor penting dalam melaksanakan strategi pemasaran micro influencer yang efektif.
Kesilapan biasa menyebabkan strategi pemasaran kurang efektif adalah apabila menganggap micro influencer sama seperti wakil media, platform media massa atau media online. Mereka lebih kepada individu pihak ke-3 yang ‘bercerita’ tentang jenama, produk atau perkhidmatan anda berdasarkan perspektif ‘personal review’ atas kapisiti peribadi mereka. Maka, lagi ramai bercerita dengan interaksi personal yang positif dan konsisten adalah lebih bagus.
Membina ‘team’ micro influencer
Pengurusan terancang dan sistematik kepada micro influencer lebih berkesan jika dilaksanakan secara berkumpulan atau berkala dan konsisten dari satu micro influencer ke micro influencer yang lain. Jika dibandingkan kos pemasaran tradisional mahupun media pemasaran digital yang lain, ia masih kos efektif untuk jangka panjang walaupun melibatkan jumlah kolaborasi yang ramai.
Bina kerjasama dengan sekumpulan micro influencer antara 10 hingga 30 orang atau lebih dari pelbagai niche yang sesuai dengan perniagaan anda. Susun atur jadual penerbitan artikel atau video serta perkongsian di media sosial mereka secara strategik dan berkala. Anda juga boleh melantik ‘anchor person’ yang mampu mengurus serta memahami kepentingan agenda pemasaran perniagaan anda serta perhubungan dengan micro influencer.
Mengurus Pautan Kandungan
Pastikan syarat kandungan blog, media sosial dan video setiap micro influencer mempunyai pautan ‘do follow’ (backlink) berserta maklumat perhubungan perniagaan anda yang lengkap. Pautan tersebut mestilah dapat menghubungkan kandungan yang ditulis kepada laman web dan media sosial perniagaan anda.
Ia secara tidak langsung dapat mengarah pembaca dan audien mereka mengenali jenama atau membuat tempahan pembelian kepada anda. Pautan tersebut juga penting dalam membina kredibiliti pemasaran digital. Semakin banyak backlink do follow dari platform digital aktif yang mengarah kepada laman web anda, semakin tinggi kredibiliti perniagaan anda dimata enjin carian.
Pemasaran Konsisten Dan Berkala
Usahasama micro influencer bukan bersifat ‘one touch’. Anda boleh lakukan secara konsisten dengan memilih kuota kolaborasi setiap bulan, 3 atau 6 bulan sekali. Ia tidak semestinya pengisian berkaitan promosi produk semata-mata tetapi juga inisiatif yang melibatkan aktiviti perniagaan anda kepada komuniti atau bersama ‘team’ micro influencer.
Sekali lagi ditekankan, konsep menjayakan strategi pemasaran melalui khidmat micro influencer adalah bersifat ‘kecil tetapi ramai’. Semakin ramai ‘orang’ atau pihak luar bercerita tentang keistimewaan jenama dan perniagaan anda, maka semakin cerah peluang anda berkembang kukuh dalam prospek pemasaran digital.
Setiap micro influencer mempunyai pengalaman, imej dan pengaruh peribadi tersendiri. Memastikan usahasama yang ‘win-win’ juga penting dalam memperkukuh potensi jangka panjang perniagaan kerana secara tidak langsung, mereka menjadi representatif jenama anda atas kandungan yang dihasilkan selagi mana ia kekal di enjin carian dan platform digital.