Terma yang lazim digunapakai adalah USP atau Unique Selling Proposition
Satu ciri yang boleh membezakan produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan adalah nilai. Ia harus bermula dengan kita sebagai pemilik bisnes mengiktiraf bahawa produk atau perkhidmatan yang ditawarkan adalah istimewa dan diperlukan oleh pelanggan. Bukan sekadar mengisi masa lapang atau hobi semata-mata.
Sarjana bidang pemasaran iaitu Philip Kotler ada menulis di dalam bukunya ‘Marketing 4.0’ di mana evolusi ilmu pemasaran ini dibahaskan. Marketing 4.0 membincangkan antara lain berkaitan tawaran nilai. Bukan lagi customized product or services. Bukan lagi sekadar tentang pembekal menyediakan produk atau perkhidmatan mengikut keperluan pelanggan. Ia kini berkaitan nilai yang dikongsi rasa dan suka antara pembekal dan pelanggan.
Pembekal menekankan pemeliharaan alam sekitar, maka pelanggan yang berkongsi tawaran nilai yang sama akan membeli, melanggani hatta mengulangi pembelian. Pembekal atau penjual yang meletakkan integriti atau kualiti perkhidmatan terbaik akan dapat menarik minat pembeli yang juga menekankan integriti dan perkhidmatan terbaik. Pembeli akan berasa selesa dengan nilai yang dikongsikan dan dibawa oleh penjual.
Maka, kepentingan menjaga kualiti produk atau perkhidmatan sama pentingnya dengan nilai yang dibawa bersama dengannya. Terma yang lazim digunapakai adalah USP atau Unique Selling Proposition. Pencirian yang membezakan produk atau perkhidmatan kita dengan apa yang orang lain tawarkan.