Avatar Pelanggan merupakan antara kaedah penting dalam menjana kluster pasaran dan prospek pelanggan yang tepat bagi menyokong pengukuhan penjenamaan dan potensi perniagaan.
Sejak beberapa tahun lalu sehingga hari ini, saya sering mendapat pertanyaan dari kalangan para peniaga dan usahawan tentang usul penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memperkukuh potensi pasaran digital serta menjana pelanggan secara dalam talian yang lebih mampan. Memandangkan jumlah pengguna ruangan digital yang semakin meningkat drastik sejak dunia dilanda krisis pandemik, potensi dunia online kini sememangnya semakin menjadi landasan penting bagi setiap perniagaan untuk terus berdaya bersaing dan membangun maju.
Peralihan trend gaya hidup dan budaya pasaran terhadap kepentingan digital ini juga turut memberi pengalaman baru dalam penglibatan bersama rakan industri dan komuniti perniagaan. Ruangan digital kini dilihat oleh sebahagian besar komuniti perniagaan sebagai marketplace yang diharapkan dapat membuka pelbagai peluang untuk terus memperkukuh aspirasi perniagaan. Peningkatan pengguna digital sebagai landasan perhubungan dalam berkongsi pandangan dan mencari maklumat sehinggalah transaksi jual beli juga sudah menjadi norma baharu yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan dan organisasi perniagaan dengan sebaiknya.
Namun ia bukan satu usaha yang begitu mudah. Pelanggan dan pengguna juga semakin bijak dalam menilai sesuatu maklumat di ruangan digital ini. Kemahiran dari aspek pengendalian teknikal sahaja tidak mencukupi, sebaliknya turut memerlukan keperihatinan dan ketelitian dalam mengenalpasti prospek pelanggan serta motivasi pasaran. Ini kerana, terdapat pelbagai variasi audiens dengan latar belakang peribadi, minat dan aspirasi yang berbeza di pelbagai platform digital dan media sosial.
Atas faktor tersebut, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam hasrat meneroka potensi pasaran dalam talian bagi mengenalpasti prospek yang betul. Antaranya adalah dengan membina Avatar Pelanggan sebagai pengkalan data yang membantu mengenalpasti fokus audiens untuk segmen pasaran yang betul secara kos efektif.
Avatar Pelanggan Untuk Pemasaran
Avatar Pelanggan merupakan salah satu kaedah penting dalam pemasaran bagi memperolehi gambaran sebenar tentang prospek pelanggan dan pengguna yang benar-benar tepat untuk produk atau perkhidmatan yang dipasarkan. Dalam erti kata lain, ia merupakan sebuah set profil yang diperolehi melalui kajian oleh pengusaha perniagaan tentang kluster prospek pelanggan yang ideal untuk menjadi pelanggan dan mengguna produk atau perkhidmatan tersebut. Kajian ini menjadi data yang boleh dijadikan ‘tools’ dalam membina strategi pemasaran yang lebih berkesan.
Mengurus Avatar Pelanggan untuk pemasaran yang kos efektif dapat membantu capaian prospek pasaran yang lebih berpotensi daripada sekadar mengharapkan capaian ramai atau ‘mass audience’ tanpa misi capaian komunikasi yang jelas dan spesifik. Antara elemen kajian adalah mengenalpasti kluster pasaran berpotensi berdasarkan keberadaan perniagaan, produk atau perkhidmatan melalui Analisa SWOT, termasuk kajian tahap persaingan dan strategi pesaing serta mengenalpasti kluster pasaran yang dijangka paling termotivasi terhadap kelebihan produk atau perkhidmatan yang dipasarkan.
Kajian tersebut merupakan maklumat yang menjadi sebahagian pengkalan data pelanggan yang merangkumi latar belakang prospek sasaran, faktor geografi seperti lokaliti kediaman, faktor demografi seperti usia, jantina, bangsa dan seumpamanya, sehinggalah keupayaan sosio-ekonomi serta jangkaan pola gaya hidup mereka. Sebagai contoh, sekiranya produk yang anda pasarkan bersesuaian dengan kluster pelanggan wanita berkerjaya berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun, data yang diperolehi boleh dihuraikan dengan lebih terperinci menjadi Avatar Pelanggan sebagar audien sasaran yang ideal atau ‘targeted audience’.
Berdasarkan data maklumat tersebut, anda dapat memasarkan produk atau perkhidmatan yang diusahakan dengan lebih bersasar melalui kaedah pemasaran kandungan seperti ‘copywriting’ dan ‘storytelling‘ yang terancang berserta sentimen yang lebih mudah diterima oleh kluster pasaran sasaran. Gaya penyampaian dalam membina pemasaran kandungan juga dapat membina pengaruh yang mampu menyentuh emosi serta tarikan audiens terhadap produk atau perkhidmatan tersebut secara lebih releven. Ia membantu menjana lebih ramai pelanggan melalui fokus audiens yang telah disasarkan dengan mesej dan komunikasi yang tepat.
Kini terdapat pelbagai landasan yang disediakan untuk anda melakukan kajian pasaran dalam membina pengkalan data avatar pelanggan. Antara kaedah yang paling mudah adalah melalui kemudahan yang disediakan dalam periklanan media sosial seperti Facebook. Ia mempunyai pengkalan data pengguna berdasarkan maklumat yang anda berikan seperti ciri-ciri individu yang disasarkan merangkumi radius geografi dan demografi prospek sebelum melancarkan sesebuah kempen periklanan di Facebook.
Terdapat juga kemudahan yang disediakan oleh Google melalui strategi Search Engine Marketing (SEM) atau penentuan kata kunci dalam menyokong aktiviti pemasaran dan periklanan di enjin carian. Ia turut membantu dalam membina capaian sebaran kepada prospek pencari maklumat yang berpotensi berdasarkan avatar pelanggan yang telah anda sasarkan. Selain itu, aplikasi seperti Basic Business Intelligence (B.I.) dan Online Analytical Processing (OLAP) juga dapat membantu mempengaruhi algoritma digital untuk capaian prospek pelanggan yang berpotensi secara berkesan dan kos efektif.
Menyokong Strategi Pemasaran Digital
Membina Avatar Pelanggan kini telah pun menjadi kepentingan bagi sebahagian besar perniagaan untuk dipraktikkan dan dilaksanakan secara konsisten dalam menerobos potensi pasaran digital. Ia juga dipercayai menjadi salah satu kaedah yang berkesan dalam menyokong strategi penjenamaan serta membina keupayaan digital dalam menjana ‘brand loyalti’ serta pelanggan setia.
Dalam pengembangan teknologi dan persaingan pasaran yang semakin terjurus ke arah pemerkasaan ekonomi digital ini juga turut mempengaruhi pola gaya hidup dan tingkah laku pengguna serta cara berfikir dan mentafsir maklumat, termasuklah nilai emosi atau ’emotional value’ yang diserap melalui sesuatu informasi, keinginan mencuba sehinggalah pengalaman mengguna. Avatar Pelanggan turut membantu nilai penjenamaan sesebuah produk kepada pelanggan dari sekadar satu lagi komoditi di pasaran.
Justeru itu, mengenali golongan pasaran yang ideal adalah kunci dalam meluaskan potensi dan pengukuhan pasaran terhadap produk atau perkhidmatan serta kredibiliti jangka panjang perniagaan. Membina Avatar Pelanggan yang bertepatan dengan potensi produk atau perkhidmatan merupakan aset kepada setiap perniagaan dalam menjana pulangan pelaburan dan keupayaan daya saing untuk terus berkembang maju dalam arus digital yang semakin berkembang pesat.