UNHCR, Agensi Pelarian PBB dan Komite Nasional Ekonomi dan Keuangan Syariah (KNEKS) akan menjadi tuan rumah bersama acara maya secara langsung pada 23 Mac 2022 untuk memperkenalkan Laporan Filantropi Islam Tahunan UNHCR. Laporan itu mengetengahkan kesan zakat dan sadaqah yang diterima daripada rakan kongsi UNHCR pada tahun 2021 terhadap pelarian yang terdedah dan orang terlantar dalaman (IDPs) di Asia dan di seluruh dunia.
Laporan Filantropi Islam Tahunan UNHCR mengetengahkan kuasa Zakat dan Sadaqah dalam mengubah kehidupan pelarian dan keluarga terlantar dalaman di seluruh dunia. Sertai pakar dari seluruh dunia dalam perbincangan tentang hasil laporan dan bagaimana Kewangan Sosial Islam dapat membantu menyelesaikan keperluan kemanusiaan global yang mendesak pada masa kini.
Acara tersebut akan mengumpulkan beberapa pemimpin industri yang paling berpengaruh dan pakar dalam kedermawanan, perniagaan, kewangan dan budaya untuk berkongsi maklumat tentang situasi pelarian semasa di Asia dan dunia. Acara ini akan terdiri daripada ucaptama dan dua perbincangan panel maya mengenai topik berikut:
- Arah aliran global pemindahan paksa dan peranan Filantropi Islam dalam menangani keperluan kemanusiaan yang mendesak
- Peranan kewangan sosial Islam dalam mengurangkan kemiskinan dan menyediakan penyelesaian untuk komuniti yang terdedah di Asia
Program Filantropi Islam UNHCR dilancarkan oleh UNHCR pada 2019, sebagai pengedar Zakat dan Sadaqah yang dipercayai, patuh dan berkesan untuk mengubah kehidupan pelarian dan IDP yang paling terdedah melalui perkongsian dan kerjasama dengan institusi Zakat, yayasan serta entiti swasta dan sektor awam yang lain. Program ini disokong oleh tiga belas fatwa dan tertakluk kepada tadbir urus yang ketat untuk memastikan ketelusan sepenuhnya pada setiap langkah – daripada sumbangan sehingga pemberian bantuan. Sejak tahun pertama penubuhannya pada 2019, program ini telah membantu lebih daripada 4.5 juta penerima yang terdedah di seluruh dunia.